Apa itu Web 2.0
Konsep Web 2.0 telah
membawa kepada perubahan dalam komuniti pengguna laman web seperti perkongsian
blog, wiki dan guna website berunsur sosial seperti Facebook dan Friendster.
Perkataan Web 2.0
diasaskan oleh O`really Media pada tahun 2004. Walau bagaimana pun Web 2.0
bukan versi baru bagi World Wide Web, ia hanya cara pembangunan laman web yang
berbeza dan cara pelayar menggunakan web tersebut. Akhir-akhir ini begitu ramai
yang memperkata mengenai Web 2.0.
Secara keseluruhannya,
Web 2.0 merupakan generasi kedua dalam pembangunan Internet yang merangkumi
perubahan sesuatu laman menjadi satu platform aplikasi laman web interaktif
untuk pengguna.
Jika dibandingkan dengan
Web 1.0, Web 2.0 lebih merujuk kepada corak penggunaan dan penyediaan elemen
kepada pengguna. Jika dahulu, Web 1.0 lebih kepada "output" sahaja
yang mana pengguna hanya mendapat maklumat daripada webmaster.
Perubahan yang ketara
dalam Web 2.0 memperkenalkan sistem "input dan output" yang
membolehkan pengguna membaca maklumat, menghantar sebarang data dan memaparkan
kembali data tersebut di dalam laman web tersebut.
Web 2.0 merupakan satu
fenomena sosial yang memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan
semula, berkongsi, bersosial dan berkomunikasi melalui elemn-elemen yang
diterapkan dalam laman web tersebut.
Perkara baru seperti
perkongsian maklumat dan maklumat diri boleh dikongsikan lebih mudah dan
interaktif berbanding sebelum ini. Maklumat dari berlainan laman web boleh
diambil dan dimuatkan dalam laman web yang lain.
Teknologi baru ini
sesungguhnya merupakan perkara yang hebat namun begitu ianya masih lagi dalam
pembangunan. Pembentukan struktur Web 2.0 masih lagi dipantau bagi membolehkan
ianya berinteraksi dan berfungsi dengan lebih efisien apabila melibatkan
penggabungan dua laman web yang berbeza.
Konsep Web 2.0
Dalam bahagian sebelum
ini, kita hanya membicarakan mengenai maksud Web 2.0 tetapi pasti ramai yang
masih lagi samar-samar apa yang dimaksudkan dengan Web 2.0. Jadi untuk lebih
penerangan, apa yang perlu difahami dahulu adalah konsep Web 2.0 itu sendiri.
Jika dilihat pada konsep
Web 1.0 pengguna akan melalui proses sebegini:
Perhatikan laluan
perjalanan di atas yang menggambarkan proses perjalanan sesuatu laman Web 1.0.
Perjalanan bermula dengan seorang pengguna menaip alamat sesuatu laman web.
Kemudian diikuti dengan paparan laman utama. Seterusnya pengguna mula mencari
pautan-pautan yang diingini dan seterusnya klik pada pautan tersebut untuk
mendapatkan maklumat.
Seandainya pengguna
masih mencari-cari maklumat yang tertentu, dia akan klik lagi pautan yang lain
dan maklumat yang lain akan dipaparkan. Setelah semuanya selesai, pengguna akan
menutup laman web tersebut atau beralih ke laman web yang lain.
Secara ringkasnya,
perjalanan Web 1.0 adalah lebih static dan boleh juga dikatakan sebagai satu
hala (sehala) sahaja. Pengguna hanya mampu untuk mendapatkan maklumat yang
disediakan oleh webmaster. Dan sekiranya tidak ditemui maklumat yang tepat,
maka pengguna akan beralih ke laman web yang lain.
Situasi ini amat berbeza
jika dibandingkan dengan perjalanan Web 2.0 iaitu:
Perhatikan perjalanan
untuk Web 2.0, kita dapat saksikan bahawa setiap langkah atau laluan
menggunakan laman web tersebut tidak terhad kepada satu arah sahaja tetapi
lebih kompleks sehingga bersimpang siur antara satu sama lain. Pengguna
berupaya untuk menghantar sebarang maklumat, pertanyaan atau komen ke dalam
laman web tersebut dan data-data yang dihantar boleh dipaparkan kepada pengguna
yang lain.
Manakala pengguna yang
lain juga boleh menghantar balasan atau maklumat yang berbeza sama ada kepada
pengguna tersebut atau secara umum. Jika diperhatikan dengan lebih dekat, kita
dapat saksikan bahawa Web 2.0 akan menghasilkan satu jaringan di dalam laman
web tersebut malah tidak terhad dan mampu untuk berkembang dengan menempatkan
elemen-eleman atau maklumat dari laman yang lain terus ke dalam laman web
sendiri.
Sesuatu perkara baru
yang diperkenalkan sebenarnya mempunyai konsep atau idea kasar sebelum ianya
dipraktiskan secara meluas. Kefahaman anda tentang konsep Web 2.0 ini akan
lebih memudahkan anda memahaminya. Seterusnya kita akan beralih pula kepada
ciri-ciri Web 2.0.
Ciri-ciri Web 2.0
Mungkin ramai yang
mengetahui secara kasar Web 2.0 dan berkobar-kobar untuk menghasilkan laman web
anda berasaskan kepada Web 2.0 tetapi apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk
diiktirafkan sebagai Web 2.0?
1. Templat atau reka bentuk
Seiringi dengan
penggunaan aplikasi dalam laman web, reka bentuk atau templat juga perlu
dipertingkatan. Templat seharusnya boleh dipaparkan dengan baik pada mana-mana
pelayar (browser) dan pada mana-mana versi keluaran.
Templat tersebut perlu
berlandaskan kepada W3C dan menyokong penuh CSS, CSS2 dan XHTML 1.0. Templat
juga berupaya upaya untuk memaparkan sebarang maklumat yang dihantar oleh
pengguna secara praktikalnya dan tidak perlu diubahsuai atau dikemaskini
kembali oleh webmaster.
Jangan tertipu dengan
templat yang begitu drastik, cantik, dan menarik merupakan Web 2.0 tetapi ia
adalah salah satu bonus untuk menarik pengguna dan sebagai elemen pelengkap
kepada laman web tersebut. Web 2.0 tidak dinilai pada reka bentuk (design) atau
templat web tersebut sebaliknya kepada fungsi dan aplikasi yang diterapkan.
2. Carian maklumat
Salah satu ciri yang
perlu ada untuk Web 2.0 adalah carian maklumat. Walaupun susunan maklumat,
pautan dan menu yang dimasukkan begitu teratur namun pengguna mahukan maklumat
dicapai dengan lebih pantas.\Fungsi carian ini membolehkan mana-mana pengguna
mencari maklumat tertentu hanya dengan sekali klik sahaja dan menggunakan kata
kunci tertentu. Bayangkan laman anda yang memuatkan hampir ribuan artikel akan
menyusahkan mengguna mencari satu persatu artikel yang diinginkan.
3. RSS dan XML
Tidak seperti Web 1.0,
aplikasi RSS dan XML membolehkan sebarang maklumat kemaskini, kemasukkan
terbaru dan artikel popular boleh dipindah masuk ke mana-mana laman web yang
lain. Teknologi RSS (Really Simple Syndication) dan XML (Extensible Markup
Language) membolehkan sebarang data yang dimuatkan dalam laman dihantar ke
mana-mana bahagian yang lain. Ini membolehkan pengguna sentiasa mendapat
maklumat terkini daripada laman anda tanpa perlu melayari laman web yang
sebenar.
Selain itu, teknologi
RSS dan XML juga membolehkan 2 laman web yang berbeza diintegrasikan setiap
maklumatnya tanpa perlu memuat naik kembali artikel dari satu laman ke laman
yang lain. Inilah yang dikatakan "social networking" atau jaringan
sosial antara satu sama lain.
4. Kemunculan AJAX
AJAX atau
"Asynchronous Javascript and XML" antara perkara yang mesti ada dalam
Web 2.0 untuk menjadikan web tersebut berfungsi seperti aplikasi "desktop".
Kelebihan Ajax yang menguruskan sebarang maklumat tanpa perlu mengubah alamat
atau sesuatu laman dilihat sebagai satu elemen yang membantu mempercepatkan
pemprosesan data.
Gabungan dua elemen
pengaturcaraan iaitu Javascript dan XML memantapkan pemprosesan data sehingga
Ajax kini boleh digunakan pada laman web yang dijalankan pada server yang
dinyahkod.
5. Ceraian pautan
Jika kita perhatikan
pada Web 1.0, kebanyakan pautan yang disediakan adalah statik atau satu hala.
Kemunculan Web 2.0 meningkatan fungsi pautan yang mana setiap pautan utama akan
diceraikan sehingga ke bahagian kandungan yang memberikan pautan kembali ke
mana-mana artikel yang berkaitan.
Contoh yang paling mudah
adalah dengan kehadiran "breadcrumbs" yang menyenaraikan
setiap laluan pautan dari satu artikel ke artikel yang lain.
Wikipedia.org merupakan
antara contoh terbaik untuk Web 2.0 yang mana setiap artikel yang dimasukkan,
kandungan yang dipaparkan akan memautkan kata kunci tertentu kepada artikel
yang lain berdasarkan kepada kata kunci yang tertera. Jaringan pautan yang
diwujudkan memudahkan pengguna untuk melompat dari satu artikel ke artikel yang
lain dan mendapatkan maklumat yang lebih spesifik.
Selain itu, artikel yang
sering dibaca dan lebih popular akan mendapat tempat tertinggi dan paling kerap
muncul (Word Cloud). Kelebihan ini adalah untuk menyampaikan maklumat yang
terpenting dahulu kemudian diikuti dengan kurang mendapat sambutan.
Web 1.0 tidak mempunyai
fungsi ini dan kebiasaannya, webmaster terpaksa meletakkan sesuatu yang
dirasakannya popular di bahagian utama diikuti dengan iklan-iklan tambahan.
6. Tag dan Kata kunci
Teknik SEO (Search
Engine Optimization) sering kali menekan elemen tag untuk setiap artikel. Web
2.0 tidak ketinggalan untuk menempatkan ciri ini sebagai salah satu fungsi
penting untuk diiktirafkan sebagai Web 2.0 memandangkan elemen ini akan
menempat artikel anda ke satu tahap yang lebih tinggi.
Tidak seperti Web 1.0, pengguna metadata lebih
ditekankan tetapi penggunaannya yang tidak mengikut saranan akan menyebabkan
laman web tersebut disenaraihitamkan. Untuk mengatasi masalah ini, Web 2.0
lebih menekankan kepada penggunaan tag untuk setiap artikel.
Penggunaan tag adalah
lebih spesifik berbanding metadata kerana tag lebih berkaitan
dan memberikan gambaran kasar untuk satu-satu artikel. Tag juga mengkategorikan
artikel secara tidak langsung walaupun anda tidak menyediakan kategori khusus
untuk artikel anda.
Terdapat banyak lagi
ciri-ciri untuk melihatkan Web 2.0 namun setakat ini, enam ciri di atas sudah
cukup untuk pengguna mengesahkan bahawa sesuatu laman tersebut adalah Web 2.0
atau Web 1.0.
VIDEO